Jumat, 22 April 2011

SOALAN LAZIM

SOALAN
Saya pelik dan hairan, Labu Sayong ( kegunaan air ) kepunyaan jiran airnya sungguh sejuk dan segar dan sedap. Tetapi mengapa Labu Sayong ( kegunaan air ) kepunyaan saya airnya berbau busuk @ bau cat / minyak diesel @ pahit air @ payau? 

JAWAPAN
Dalam hal ini, kemungkinan besar anda telah terbeli Labu Sayong bagi kegunaan perhiasan sahaja. Perlu diingatkan!!! mana-mana Labu Sayong bagi kegunaan perhiasan tidak boleh dijadikan bekas menyimpan air minuman. Ini kerana hampir kesemua Labu Sayong yang dihasilkan bagi tujuan perhiasan kini adalah di 'cat' atau dilakukan pengubahsuaian dengan pembakaran 'diesel' bagi tujuan mencantikkannya lagi supaya berkilat dan menawan. Sekira ini terjadi maka, air yang anda isi akan berbau busuk, atau lebih dahsyat berbau minyak diesel. Justeru, sebaiknya Labu Sayong jenis ini sesuai dijadikan barangan kraf perhiasan sahaja. Bahkan, air yang diisi tidak berasa segar dan sedap kerana permukaan Labu Sayong menjadi tidak telap air ( disebabkan dicat ) dan air yang diisi tidak boleh bebas berkitar secara semulajadi.  Justeru, anda dinasihatkan supaya benar-benar membeli Produk Labu Sayong bagi kegunaan bekas minuman di mana airnya sudah tentu sedap dan segar seperti air semulajadi dalam batuan tanah. Telah banyak rungutan yang kami terima perihal mutu produk Labu Sayong. Pada hemat saya, anda boleh meminta para penjual supaya memberikan produk Labu Sayong bagi kegunaan air benar-benar sebagai bekas air minuman supaya tidak tersalah beli Labu Sayong kegunaan perhiasan yakni di 'cat'. Untuk pengetahuan, kami perniagaan kami merupakan  pengkhususan membekal dan mengedar Labu Sayong untuk kegunaan asli bekas air minuman.

SOALAN
Saya ada diberitahu, bahawa Labu Sayong airnya kini tidak sedap. Tapi, dari pengalaman saya sendiri, khususnya Labu Sayong yang dibeli oleh keluarga saya airnya amat segar dan sedap diminum. Malah hampir 2 tahun digunakan secara berterusan. Justeru, kenapa keadaan serta trend tanggapan pembeli sekarang begitu?.  

JAWAPAN
Untuk pengetahuan, kami tidak terkecuali daripada menerima kesan yang saudara nyatakan tadi. Hal ini terjadi disebabkan pengguna terbeli Labu Sayong pada sangkaan pengguna untuk bekas air minuman tetapi sebenarnya membeli Labu Sayong kegunaan perhiasan. Tidak diketahui siapa yang bersalah dalam hal ini, bagi pihak penjual yang lain mungkin menyangka pembeli yang membeli produk Labu Sayong kegunaan perhiasan mereka untuk dijadikan barangan perhiasan di rumah ataupun pejabat. Bagi pihak pengguna anggapan mereka bahawa produk Labu Sayong sebagai bekas menyimpan air minuman sebenarnya tidak lagi sesuai pada zaman kini. Labu Sayong kini telah berevolusi dan diberi nafas inovasi supaya lebih kompetatif dalam dunia perniagaan sekarang. Labu Sayong kini terbahagi kepada 2 jenis kegunaan iaitu sebagai bekas air minuman dan satu lagi sebagai kegunaan perhiasan sahaja. Justeru, adalah amat dinasihatkan supaya pengguna @ pembeli pastikan bahawa produk Labu Sayong yang dibeli itu adalah benar-benar jenis bekas air minuman sekiranya anda mahu menjadikannya sebagai bekas menyimpan air minuman. Ini kerana tanggapan pengguna sekarang amatlah silap jika berlaku kes-kes yang dinyatakan tadi. Tidak diketahui, samada tanggapan negatif ini sengaja disebarkan bagi melumpuhkan industri desa yang majoritinya diusahakan pengusaha kecil. Diharap para pengusaha dan penjual berilah penerangan secukupnya kepada pembeli supaya salah faham yang berlaku di pihak pengguna tidak berlarutan dan memberi kesan tidak sihat kepada para pengusaha dan penjual barangan kraf Labu Sayong. Untuk pengetahuan, kami merupakan peniaga dan pengedar khusus membuat Labu Sayong untuk kegunaan asli bekas air minuman.

SOALAN
Saya sudah lama tidak membeli Labu Sayong. Ini kerana Labu Sayong saya sering saja kekeringan walaupun berkali-kali diisi dengan air hingga penuh. Kenapa ia begitu, adakah ia bocor?.


JAWAPAN
Ya memang benar ianya bocor jika apa yang saudara katakan begitu. Jadi jangan berputus asa dan anda perlu membeli yang baru. Sebenarnya bukan semua produk Labu Sayong 'bocor' malah diakui memang ia adalah buatan tangan manusia yang tidak lekang daripada melakukan kesilapan. Malah tidak dijamin seratus peratus setiap barangan keluaran Labu Sayong yang dihasilkan 'elok'. Namun, setiap pengusaha terutamanya diri saya sendiri akan memastikan produk keluaran mereka 'Labu Sayong' bermutu dan berkualiti. Di pihak saya, sebagai pengeluar dan pengedar barangan kraf membenarkan produk berkenaan ditukar semula dengan yang baru dengan syarat barangan kraf tersebut adalah benar-benar barangan keluaran dan edaran kami . Serta Keadaan barangan tersebut benar-benar bocor dan tidak melibatkan sebarang kesilapan dan kecuaian yang dilakukan oleh pengguna. Untuk pengetahuan setakat ini tiada langsung aduan yang diterima daripada pengguna perihal barangan kraf keluaran dan edaran kami. 

SOALAN 
Kenapa Labu Sayong kepunyaan saya seperti akan berpeluh. walhal, ia baru saja dibeli?.   

JAWAPAN 
Untuk pengetahuan, memang Labu Sayong akan berpeluh sewaktu mula - mula digunakan apabila diisi dengan air buat pertama kali. Hal ini berlaku disebabkan air yang diisi akan mula meresap terlebih dahulu badan Labu Sayong yang diperbuat daripada tanah liat yang telah bertukar menjadi batuan. Oleh itu, anda tidak perlu risau akan situasi ini untuk 3 hingga 4 hari seterusnya. Air yang anda isi itu akan surut sedikit demi sedikit supaya air benar-benar telah sebati dengan badan Labu Sayong tersebut. Akan tetapi, sekiranya air yang diisi terus menerus meresap keluar maka kesimpulan yang dibuat Labu Sayong anda bocor dan anda perlu memulangkan kembali untuk digantikan dengan yang baru.

SOALAN
Setelah berminggu - minggu digunakan, Labu Sayong yang saya beli mula menampakkan keputihan di permukaan badan dan di muncungnya seolah-olah berkulat?  


JAWAPAN
Labu Sayong amat berbeza dengan bekas minuman yang lain seperti mug, jug dan pinggan mangkuk berporselin kaca. Secara fizikal, Labu Sayong adalah tanah liat yang dibakar tanpa sebarang sanduran unsur atau bahan lain. Oleh demikian, tanah liat ini yang membentuk Labu Sayong telah menjadi batu berlapis menyamai batuan biasa di dalam tanah. Faktor inilah juga menyebabkan air Labu Sayong sejuk semulajadi jika dibandingkan bekas yang lain. Oleh kerana airnya berkitar dan meresap batuan tanah liat, badan Labu Sayong akan sentiasa menyejuk dan ini sebagai penggalak debu-debu yang berterbangan di dalam rumah kita akan pergi ke arahnya dan terperangkap pada permukaan Labu Sayong. Kulat atau keputihan yang dimaksudkan sebenarnya adalah debu-debu yang terkumpul dan Labu Sayong anda tidak dicuci untuk jangka masa yang lama. Labu Sayong sebenarnya memerlukan penjagaan yang rapi antaranya kerap dibersihkan dan dicuci pada permukaan badan serta bahagian muncungnya, ketika menggunakannya pastikan tangan anda bersih daripada sisa makanan atau kotoran.
Sekarang, anda tentu faham apa yang cuba saya jelaskan. Justeru, anda jangan malas membersihkan permukaan Labu Sayong anda sekerap yang mungkin. Apatah lagi, sekiranya persekitarannya berprofil tinggi dengan kandungan debunya. Maka inilah yang dikatakan kelainan, keistimewaan dan keunikan Labu Sayong sebagai khazanah tinggalan bangsa kita. Sekian. 

SOALAN
Saya ingin menggunakan kembali Labu Sayong ( Untuk kegunaan air ) yang telah lama tidak dipakai. Masalahnya, keadaan seperti kulat di dalamnya. Boleh jelaskan mengapa ia terjadi? 

JAWAPAN
Labu Sayong amat berbeza dengan bekas minuman yang lain seperti mug, jug dan pinggan mangkuk berporselin kaca. Secara fizikal, Labu Sayong adalah tanah liat yang dibakar tanpa sebarang sanduran unsur atau bahan lain. Oleh demikian, tanah liat ini yang membentuk Labu Sayong telah menjadi batu berlapis menyamai batuan biasa di dalam tanah. Faktor inilah juga menyebabkan air Labu Sayong sejuk semulajadi. Oleh demikian, keadaan seperti kulat terjadi disebabkan ia tidak digunakan sekian lama di mana masih ada takungan air dan persekitaran dalamannya yang lembab kemudian disimpan tanpa dikeringkan terlebih dahulu. Lihat batuan sungai yang deras airnya yang disamakan Labu Sayong yang terus menerus digunakan dengan Batuan yang airnya bertakung tidak mengalir yang disamakan Labu Sayong yang sekian lama tidak digunakan. Perbandingan pasti jelas iaitu batuan sungai yang deras airnya tidak berlumut manakala yang satu lagi pasti berlumut. Hal ini samalah tentang Labu Sayong. Cuba fikirkan, Labu Sayong berbadankan batuan tanah liat biasa semata-mata manakala bekas lain seperti mug, jug dan mangkuk berporselin kaca berbadankan tanah liat di dalamnya dan di luar selaluti unsur kimia melalui pembakaran teknik glaze. Sekarang, anda mesti faham apa yang cuba saya jelaskan. Justeru, anda jangan berputus asa dengan membuat pembelian yang baru. Maka inilah yang dikatakan kelainan, keistimewaan dan keunikan Labu Sayong sebagai khazanah tinggalan bangsa kita. Sekian. 

SOALAN
Bagaimanakah cara / petua / kaedah untuk memastikan Labu Sayong yang kita beli itu benar-benar 'cukup masak' dan selamat daripada kerugian daripada 'terbeli' Labu yang 'tidak cukup masak'. Dengar khabar, jika 'tidak cukup masak' labu Sayong akan retak dan bocor apabila diisi dengan air dan tidak boleh dipakai.

JAWAPAN
Terdapat petua mudah bagi memastikan samada Labu Sayong (Untuk Kegunaan Bekas Minuman) benar-benar 'masak'.Keadaan 'Tidak Cukup Masak' membuatkan tanah liat yang membentuk Labu Sayong masih berkeadaan rapuh belum bertukar menjadi batu sepenuhnya dan akan 'cair' apabila terkena air. Atau istilah yang paling tepat ialah 'lerak'. Kesimpulan yang boleh dibuat, anda telah terbeli Labu Sayong yang dibakar 'Tidak Cukup Masak'. Untuk mengelakkan situasi ini daripada berlaku pastikan anda menggunakan petua ini. Iaitu semasa membeli jentik badan Labu Sayong 'Kegunaan Bekas Minuman' beberapa ketika dengan muncung Labu Sayong didekatkan di telinga, jika ia berbunyi gema nyaring 'king, king, king' maka ia bermakna 'Dibakar Cukup Masak' dan jika sebaliknya iaitu berbunyi 'tek, tek, tek' maka sudah pasti Labu Sayong tadi dibakar 'Masih Mentah'. Justeru, anda akan bakal berhadapan yang anda katakan tadi iaitu retak dan bocor.


SOALAN
Bolehkah Labu Sayong diisi dengan air panas. Dan air selain daripada air masak bolehkah diisi pada labu sayong itu.  
  
JAWAPAN
Air masak yang panas tidak akan memudaratkan Labu Sayong. Ini kerana Labu Sayong sendiri dibakar pada suhu yang amat tinggi. Namun, air masak yang panas akan menyejuk dalam beberapa jam kemudian. Seelok-eloknya, hanya air masak sahaja yang amat sesuai digunakan kerana Labu Sayong sememangnya bekas menyimpan air masak sejak dahulu kala lagi. Sekiranya air minuman lain diisi sebagai contoh air sirap maka apabila dibasuh dan digantikan dengan air masak kembali; air masak tersebut akan berbau sirap. Sekian.
SOALAN
Labu yang saya beli, dalam beberapa minit meretak setelah diisi dengan air. Kenapa ini terjadi?. Walhal, air yang saya isikan itu sejuk bukannya panas.  
  
JAWAPAN
Air masak yang panas tidak akan memudaratkan Labu Sayong. Ini kerana Labu Sayong sendiri dibakar pada suhu yang amat tinggi. Namun, hal ini terjadi sekiranya Labu Sayong tadi dibakar 'Belum Cukup Masak'. Keadaan ini membuatkan tanah liat masih berkeadaan rapuh belum bertukar menjadi batu dan akan 'cair' apabila terkena air. Atau istilah yang paling tepat ialah 'lerak'.Kesimpulan yang boleh dibuat, anda telah terbeli Labu Sayong yang dibakar 'Tidak Cukup Masak'. Untuk mengelakkan situasi ini daripada berlaku pastikan anda menggunakan petua ini. Iaitu semasa membeli jentik badan Labu Sayong 'Bekas Minuman' beberapa ketika dengan muncung Labu Sayong didekatkan di telinga, jika ia berbunyi gema nyaring 'king, king, king' maka ia bermakna 'Dibakar Cukup Masak' dan jika sebaliknya iaitu berbunyi 'tek, tek, tek' maka sudah pasti Labu Sayong tadi dibakar 'Masih Mentah'.

SOALAN
Benarkah Labu Sayong ini airnya amat mujarab dan bagus dijadikan ubat?. Bagaimana pendapat anda?.

JAWAPAN
Ia sebenarnya bersifat subjektif, yang jelas air yang disimpan di dalamnya berasa sejuk semulajadi, segar dan sedap diminum. Malah amat sesuai menghilangkan dahaga di waktu malam selain menyejukan badan dan mengurangkan batuk biasa. Penggunaan Labu Sayong di rumah mengakibatkan anda akan mengurangkan penggunaan gula dalam kehidupan seharian. Memang ada pesan orang-orang tua dahulu berkenaan khasiat Labu Sayong. Antaranya dijadikan ubat air penawar yang di dahulukan dengan doa-doa tertentu bagi sakit-sakit badan yang berpunca unsur mistik Di samping suhu airnya secara semulajadi yang amat sesuai pada tubuh badan. Kesejukan airnya amat berbeza jika dibandingkan sejuk ais batu malah air sejuk Labu sayong lebih puas diminum di waktu panas tengahari. Seperkara lagi, bagi pengguna yang tahu dan faham khasiat penggunaan tanah liat dalam perubatan tradisional alternatif. Maka semestinya faham akan mengapa nenek moyang kita mengatakan Labu Sayong airnya amat berkhasiat. 

SOALAN
Boleh saudara terangkan, apakah keistimewaan dan khasiat sebenar air Labu Sayong. Mengapa airnya sejuk dan segar malah sedap diminum.  

JAWAPAN
Perlu dinyatakan bahawa Labu Sayong berbeza dengan mana-mana bekas air seperti teko kaca berporselin, mug, jug dan sebagainya. Ini kerana lazimnya, air yang disimpan di dalam jug, teko yang dibakar teknik glaze (berporselin kaca) tidak akan sejuk. Berbeza Labu Sayong asli (kegunaan bekas minuman) yang mana airnya segar dan sejuk secara semulajadi seakan di dalam batuan tanah. Untuk makluman, Labu Sayong diperbuat daripada tanah liat khas yang boleh dibakar menjadi tembikar batu tanpa mengandungi campuran yang lain. Oleh sebab itu, Labu Sayong yang asli akan menjadikan air yang disimpan menjadi sejuk, segar dan sedap diminum. Airnya juga boleh menyejukkan badan dan dikatakan penawar penyakit mistik apabila diamalkan meminumnya selalu. Labu Sayong yang asli akan membenarkan air masak yang disimpan di dalamnya berkitar dan menyerap tembikar batu dan berkodensasi dalam istilah sainsnya dan ini menyebabkan badan Labu Sayong sentiasa sejuk apabila diisi dengan air di dalamnya.Untuk merasakan keenakan rasa air Labu Sayong, air yang diisi hendaklah air masak dan diperam untuk jangkamasa 3 atau 4 jam setiap kali Labu Sayong diisikan dengan air yang baru.
Istilah 'Labu Sayong Asli' bermakna Labu Sayong untuk kegunaan bekas menyimpan air minuman dan tidak dicat seperti Labu Sayong kegunaan perhiasan. Awas !! Labu Sayong (Kegunaan Bekas Minuman)  yang berkilat kehitaman. Pastikan ia berwarna hitam asli pembakaran sekam padi/papan, jika hitam dicat ia hanya sesuai untuk perhiasan sahaja. Sekiranya ia diisi air anda akan mendapati airnya tidak sejuk dan tidak segar atau lebih malang akan berbau cat varnis. Bayangkan jika anda sendiri mengecat cawan anda dengan cat dan varnis kemudiannya anda sendiri menggunakan untuk bekas minuman anda. Anda sanggupkah? Tepuk dada tanya selera. Sudah tentu tindakan anda itu, untuk menjadikannya barangan perhiasan sahaja bukan?. Sekian

SOALAN
Saya ingin membeli dan membuat tempahan ke atas 500 biji Bekas Telur. Berkenaan urusan deposit, berapakah jumlah yang harus saya bayar dan bagaimana prosesnya?.   

JAWAPAN