PROSES PEMBUATAN LABU & PASU HIASAN | |
![]() | |
ACUAN Dalam kaedah tradisional, tanah liat yang hendak dibuat tembikar, akan terlebih dahulu dijemur dan dikeringkan. Tanah yang sudah kering itu kemudiannya ditumbuk dan diayak halus seperti tepung. Dari debu tanah inilah kemudiannya dibancuh dengan air, diuli hingga sebati, seakan adunan kuih. Dari 'doh' inilah, baru ianya dibentuk menjadi labu. Proses ini amatlah sukar dan tidak produktif. Sebiji labu akan sekurang-kurangnya mengambil masa tiga hari untuk disiapkan. Perkembangan teknologi telah menjadikan proses pembuatan labu dan pasu menjadi lebih mudah. Kini, labu dan pasu dibuat dengan menggunakan acuan. PELBAGAI BENTUK ACUAN. Bahan utama bagi membuat labu ialah tanah liat dan air. ‘Tanah Sayong’ adalah merupakan tanah liat yang mempunyai kualitinya yang tersendiri. Ianya hanya terdapat di Kampung Sayong, sebuah perkampungan di daerah Kuala Kangsar, di negeri Perak Darul Ridzuan. Selain tanah dan air, sejenis bahan galian yang bernama ‘Sodium Silicate’ turut dicampurkan dalam adunan tersebut. Sodium Silicate berfungsi mengampaikan larutan tanah supaya tidak mendap. Ini akan memberikan ketebalan yang serata pada pasu. Bancuhan tanah liat dan air dituangkan ke dalam acuan. Kemudian bancuhan tersebut dibiarkan selama 3 hingga ke 4 jam di dalam acuan tersebut. Sesudah itu, bancuhan tanah tersebut dituangkan semula dari acuannya, dan meninggalkan tanah liat yng sudah mula keras di dinding acuan. |